Mayat mangsa ditemui dalam longkang di Taman Kerian Permai, Parit Buntar, Perak semalam.

IPOH – Tiada unsur jenayah berhubung penemuan mayat seorang lelaki berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) di dalam longkang berhampiran Taman Kerian Permai, Parit Buntar semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap mangsa berusia 19 tahun di Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini mendapati punca kematian tidak dapat dikenal pasti disebabkan pereputan mayat.

Bagaimanapun, jelas beliau, beberapa sampel yang diterima pihaknya telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk membantu keseluruhan siasatan.

“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) malah siasatan pihak polis di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan dan diminta menghubungi balai polis terdekat sekurang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pencarian mangsa dilakukan sejak Isnin lalu oleh keluarganya.

Media sebelum ini melaporkan mayat Mohammad Arif Zakuan Mohd Redzuan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemui dalam parit.

Mangsa dikatakan keluar bersama sepupunya untuk beraya di rumah rakan mereka di Taman Kerian Permai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast