Jais Abdul Karim Nazlan pendakwaan terpilih SPRM Shafiq
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pendekatan baharu yang digunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu difahami oleh rakyat bagi memastikan rasuah berskala mega dapat dicegah daripada berulang.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pasti ada pihak yang mempersoalkan keberkesanan pendekatan baharu itu kerana kelihatan SPRM kekurangan sumber daya manusia serta kurang mendapat kerjasama daripada sektor awam, swasta dan masyarakat.

Menurut beliau, kerajaan sewajarnya menyokong usaha tersebut dengan menyediakan kemudahan yang mencukupi kepada SPRM.

“Walaupun begitu, MCW memandang positif dan menyokong penuh pendekatan baharu SPRM dalam memerangi rasuah.

“Kami percaya pendekatan ini adalah langkah yang positif untuk mencapai keadilan dan integriti dalam pentadbiran awam dan sektor swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jais mengulas kenyataan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berhubung pelaksanaan program itu bagi memberi tumpuan terhadap isu kartel, ketirisan dana kerajaan, pelanggaran undang-undang dan ketidakcekapan dalam mengutip hasil kerajaan.

Razim berkata, pihaknya turut mengambil pendekatan menerusi pendidikan formal dan tidak formal di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta peringkat sekolah menengah dan rendah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Jais menambah, rakyat digalakkan untuk menyebarkan tentang inisiatif baharu itu dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pelbagai usaha memerangi rasuah.

Beliau memberitahu, dengan meningkatkan pemahaman dan kesedaran tersebut, orang ramai pasti akan menghargai usaha SPRM dalam memerangi rasuah.

“Individu yang mempunyai maklumat tentang kes rasuah wajib memberikan maklumat tersebut kepada SPRM.

“Ini dapat membantu SPRM menjalankan siasatan mereka dengan cepat dan tepat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast