Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – SIS Forum (Malaysia) memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan dalam usaha terakhir membatalkan fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang melabelkan organisasi itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Organisasi itu dan seorang daripada pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar memfailkan permohonan itu pada 14 April lepas, untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya bagi membatalkan fatwa tersebut.

Dalam kes sivil, litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum boleh meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan mojoriti 2-1, menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa itu.

Mereka telah merayu ke Mahkamah Rayuan selepas semakan kehakiman mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa yang diwartakan oleh kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu telah mengisytiharkan bahawa SIS Forum, mana-mana individu, serta kumpulan yang mengamalkan fahaman menyeleweng liberalisme dan pluralisme, telah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural terhadap Islam hendaklah diharamkan dan dirampas serta mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menapis laman web sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 15 Mei untuk pengurusan kes bagi permohonan kebenaran merayu tersebut.

Dalam notis usul memohon kebenaran itu, kumpulan berkenaan telah mencadangkan 10 persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalannya adalah sama ada fatwa, yang pernah dikeluarkan dalam Warta di bawah Seksyen 48(6), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, adalah satu bentuk undang-undang subsidiari dan/atau perundangan yang diwakilkan. – Bernama