Kredit: IG - R. Sharmendran (gambar fail)

KUALA LUMPUR – Jaguh karate negara, R. Sharmendran diberi kepercayaan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan rasmi Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, pada 5 Mei ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata antara sebab Sharmendran dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara tersebut adalah kerana atlet berusia 30 tahun itu merupakan prospek emas negara kali ini.

“Selepas meneliti senarai pendek yang merangkumi tujuh calon, MOM memilih Sharmendran untuk diberi penghormatan ini berdasarkan dua kriteria – prospek pingat dan pengalaman,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook MOM hari ini.

Sharmendran kini sedang memburu pingat emas keempat berturut-turut dalam kategori kumite lelaki 75 kilogram (kg), selepas muncul juara acara sama sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Beliau bakal menjadi wakil karate kedua menjadi pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan temasya sukan dwitahunan itu, selepas R. Puvaneswaran diberikan penghormatan melakukannya pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.

Sukan SEA 2023 akan berlangsung sehingga 17 Mei ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast