SUBANG JAYA – Empat individu, termasuk kanak kanak, cedera apabila kereta dinaiki terbabas di susur keluar Putra Heights, Lebuhraya Elite, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian jam 1.05 pagi itu kenderaan polis yang terlibat rondaan cegah jenayah terserempak dengan kereta dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis kemudian mengekori kenderaan suspek sambil membunyikan siren serta menyalakan lampu biru untuk mengarahkan suspek supaya menghentikan kenderaannya bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, suspek enggan bekerjasama untuk berhenti selepas arahan polis itu cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan yang pandunya sehingga dikejar polis sebelum hilang kawalan lalu melanggar palang Plaza Tol Seafield menuju ke Lebuhraya Elite,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kenderaan suspek kemudian terbabas dan remuk teruk ketika melalui susur keluar Putra Heights sebelum dikepung kenderaan polis.

Menurutnya, semakan mendapati kenderaan tersebut dinaiki dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 20 hingga 30 an dan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun.

“Tiga suspek itu mengalami kecederaan parah manakala kanak kanak cedera ringan dalam insiden itu sebelum dikejarkan ke hospital Putrajaya untuk rawatan selanjutnya

“Semakan lanjut polis juga mendapati kesemua suspek terlibat mempunyai beberapa rekod kesalahan jenayah lampau manakala salah seorang suspek itu masih dikehendaki dalam kes dadah di daerah Hulu Selangor,” ujarnya.

Wan Azlan berkata, kesemua suspek masih belum ditahan memandangkan mereka masih dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dirawat di hospital.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam. – MalaysiaGazette