Sepucuk pistol angin jenama Wingun Patent Super Sport 702 Cal. 6mm BB yang dirampas daripada suspek yang mengacukan senjata api itu ke kepala seorang penunggang motosikal selepas berang dimarahi membuat pusingan U di hadapan pusat beli belah Melaka Mall, Jalan Lebuh Ayer Keroh, Melaka kira-kira pukul 12.20 pagi tadi.

MELAKA – Tindakan berani seorang mekanik merampas sepucuk pistol yang diacukan di kepalanya oleh seorang pemandu yang berang kerana dimarahi ketika membuat pusingan U bukan sahaja menyelamatkan dirinya.

Malah ia membantu membongkar kesalahan suspek kerana memiliki senjata api yang dibeli dari rakannya yang dikehendaki polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 29 tahun diberkas orang awam kira-kira pukul 12.20 pagi tadi ketika cuba melarikan diri di Jalan Lebuh Ayer Keroh berhadapan pusat beli belah, Melaka Mall.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengahari, pengadu sedang menunggang motosikal dari Ayer Keroh menghala ke pusat bandar Melaka sebelum tiba di lampu isyarat di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Jalan Lebuh Ayer Keroh.

“Mekanik lelaki berusia 24 tahun itu kemudian meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat warna hijau sebelum tiba-tiba kereta jenis Perodua Myvi dipandu suspek lelaki berusia 29 tahun dari arah bandar Melaka membuat pusingan U di lokasi yang sama.

“Pengadu sempat brek dan mengelak daripada berlaku pelanggaran sambil memberi isyarat hon dan menjerit ‘hoi’ kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher Patit

Menurut Christopher, suspek kemudian telah mengarahkan pengadu berhenti di tepi di tepi jalan di hadapan Melaka Mall menyebabkan lelaki itu berhenti dan menuju ke arah pemandu Myvi berkenaan.

“Lelaki itu kemudian memarahi pengadu dalam dalam bahasa Mandarin sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam keretanya dan mencekak belakang leher pengadu menggunakan tangan kanannya.

“Suspek kemudian mengacukan pistol ke kepala pengadu sebelum berlaku pergelutan yang akhirnya pengadu berjaya merampas senjata api berkenaan menyebabkan suspek terus melarikan diri dengan kenderaannya itu,” katanya.

Tambah Christopher, suspek yang beralamat di Taman Kerjasama Bukit Beruang di sini bagaimanapun akhirnya berjaya diberkas oleh pengadu dan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod dadah dan sedang menjalani pengawasan (PS) di Balai Polis Bukit Baru bermula 1 November 2021 hingga 1 November 2023 di bawah Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

“Polis turut merampas sepucuk sepucuk pistol angin jenama Wingun Patent Super Sport 702 Cal. 6mm BB, enam butir peluru jenama Wingun 700 dan satu bungkusan lut sinar mengandungi manik plastik warna hijau.

“Hasil siasatan awal, suspek mendakwa membeli pistol berkenaan daripada rakannya yang masih dikesan polis,” katanya.

Tambahnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek bagaimanapun negatif dadah dan direman selama enam hari bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan/ Seksyen 36 (1)(a) Akta Senjata Api 1960. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. 39B..??? hukum gantung tu.. camana boleh duduk luar.. pelik betul undang2.. sebab cina tu settle dgn fuit ke??

Comments are closed.