YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kedah Darul Aman menghadiri program Himpunan Madani Kedah dan seterusnya singgah minum di Wan Cendol Pulut Special Kepala Batas, 28 April 2023. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Perpaduan di Kedah bukan diadakan kerana mahu menang pilihan raya negeri seperti didakwa setengah pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak mahu menerima sokongan rakyat Kedah semata-mata menganjurkan majlis yang sama.

“Saya mahu sokong kerana dasar bawa saya angkat martabat negara kita.

“Depa cerca macamana pun dia tiada bukti kita sakau duit orang,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu pada Himpunan Madani Kedah 2023 di Dataran Stargate di Alor Setar, Kedah yang disiarkan secara live di media sosial malam ini.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri, pemimpin PH dan Barisan Nasional Kedah.

Sebelum itu, pimpinan Perikatan Nasional termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menganggap penganjuran rumah terbuka kerajaan pusat esok merupakan kempen pilihan raya.

Beliau juga menjelaskan penganjuran rumah terbuka di negeri-negeri juga lebih murah kosnya berbanding diadakan di Putrajaya.

“Takkan saya sorang makan, bagilah orang makan, itu pun ada caranya KDN (Kementerian Dalam Negeri) buat di sini (Kedah) tambah sikt jimat belanja, bukan hotel lima bintang

“Jadi toksah jadi isu, orang Kedah takyahlah buat di KL takyah mai dah tak mahu, saya mai sini,” katanya.

Mengenai dakwaan melantik Ahmad Zahid yang dikatakan kluster mahkamah, Anwar berkata, biar kes timbalannya itu diputuskan oleh mahkamah.

“Marah-marah kluster mahkamah, depa pun kluster mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga memuji Ahmad Zahid kerana melaksanakan dasar melibatkan tender secara betul dan pemimpin seperti ini perlu diraikan.

Anwar juga mahu membuktikan kepada dunia ada pemimpin Melayu yang mampu membawa Malaysia membawa keadilan kepada semua kaum. – MalaysiaGazette