Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Empat Ahli Parlimen dari Parti Bersatu di Sabah bakal berdepan tindakan undang-undang apabila parti itu memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding ke atas mereka.

Empat ahli Parlimen itu ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Bersatu memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa empat kerusi Parlimen berkenaan sudah dikosongkan.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang memfailkan permohonan itu turut menamakan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sebagai responden pertama.

Dalam permohonan kebenaran itu, Bersatu memohon pengsytiharan untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu yang menyatakan responden kedua hingga kelima sudah memberikan penjelasan dan mengesahkan tiada berlaku kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan Bersatu.

“Bersatu juga memohon perisytiharan empat Ahli Parlimen berkenaan sudah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka memohon perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, parti itu turut memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast