Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah dijadualkan pada 21 Mei ini, kata Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar.

Justeru beliau berkata, jumlah terkini tambahan kuota haji hanya akan diketahui sebelum tarikh tersebut.

“Penerbangan pertama jemaah kita pada 21 Mei depan dan sebarang jumlah tambahan kuota haji hanya akan diketahui sebelum tarikh itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Naim Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Sebelum itu ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kuota haji, Amrin memberitahu, pihaknya masih lagi dalam proses rayuan ketika ini.

Bulan lalu, Mohd. Na’im berkata, Malaysia masih menunggu jawapan daripada kerajaan Arab Saudi bagi kelulusan tambahan 350 lagi kuota haji bagi tahun ini.

Beliau berkata, rayuan bagi penambahan kuota itu sudah dikemukakan dua kali pada Januari dan Februari lalu.

Jelasnya, Malaysia mempunyai asas untuk memohon tambahan kuota terbabit berikutan pertambahan populasi penduduk negara ini yang sudah meningkat kepada 31.95 juta penduduk.

Sementara itu, bermula 22 Mac lalu, TH telah mengeluarkan surat tawaran kepada 31,600 bakal haji bagi musim haji 1444H/2023M. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast