Projek PSI sebelum ini terdiri daripada tiga pulau namun kini dikecilkan kepada satu pulau.

GEORGE TOWN – Keputusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) tidak sepatutnya menjadi pertikaian pihak pembangkang.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas, Fajinah Jaafar berkata, ini kerana projek berkenaan telah diteliti oleh pegawai-pegawai agensi terlibat sebelum memberikan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Sesungguhnya, kebenaran sentiasa berpihak kepada mereka yang benar.

“Sudah bertahun kami menunggu projek ini berjalan walaupun ditempuhi pelbagai dugaan dan akhirnya dapat tidur dengan lena apabila mendengar pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Rabu lalu.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada JAS dan pihak kerajaan negeri yang serius dalam mempertimbangkan serta mementingkan kebajikan nelayan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Fajinah turut menyangkal dakwaan Persatuan Nelayan Pulau Pinang bahawa 6,000 ahlinya membantah projek tersebut.

“Sehingga hari ini, mereka tidak mampu menunjukkan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

“Sebagai rakyat Pulau Pinang, kami berhak menyuarakan pendapat kami dan memilih yang terbaik genarasi akan datang kerana mereka bakal menerima manfaat dan peluang pekerjaan menerusi projek ini,” katanya.

PSI bernilai RM11 bilion membabitkan penambakan laut secara besar-besaran, termasuk pembinaan tiga pulau buatan manusia yang juga sebahagian daripada pelan induk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Kelmarin, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meluahkan rasa kecewa susulan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi kelulusan untuk Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) walaupun ia ditentang ramai pihak. – MalaysiaGazette