Suasana di sekitar Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone.

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia pada Mac 2023 bernilai RM232.7 bilion, berkurangan sebanyak 1.6 peratus tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan media Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi Mac 2023 hari ini, DOSM menyatakan nilai eksport susut 1.4 peratus kepada RM129.7 bilion manakala import turun 1.8 peratus kepada RM103.0 bilion.

Mengulas prestasi itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport lebih rendah oleh kebanyakan negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-RM775.6 juta); Kedah (-RM730.3 juta); Sabah (-RM651.7 juta); Pahang (-RM637.9 juta); Terengganu (-RM405.1 juta); Perak (-RM366.0 juta); Johor (-RM242.9 juta) dan Kelantan (-RM71.0 juta).

Bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Sarawak sebanyak RM740.6 juta; Negeri Sembilan (RM369.3 juta); Wilayah Persekutuan Labuan (RM293.6 juta); Pulau Pinang (RM279.6 juta); Melaka (RM165.7 juta); Selangor (RM37.8 juta) dan Perlis (RM6.2 juta).

Prestasi import mengikut negeri pada Mac 2023 juga turun sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.90 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lepas, kata beliau.

Penurunan disebabkan import lebih rendah oleh kebanyakan negeri iaitu Melaka (-RM4.1 bilion); Negeri Sembilan (-RM877.6 juta); Pulau Pinang (-RM701.5 juta); Kedah (-RM559.7 juta) dan Pahang (-RM450.3 juta) manakala Selangor (-RM72.1 juta), W.P. Labuan (-RM18.9 juta) serta Sabah (-RM16.7 juta).

Bagaimanapun, katanya, nilai import meningkat di Johor sebanyak RM3.8 bilion; Kuala Lumpur (RM619.8 juta); Sarawak (RM262.4 juta); Terengganu (RM192.0 juta); Perlis (RM52.0 juta); Kelantan (RM26.7 juta) dan Perak (RM1.1 juta), katanya.

Pulau Pinang, Johor dan Selangor kekal sebagai kelompok pengeksport utama dengan menyumbang sebanyak 70.2 peratus daripada jumlah eksport pada Mac.

Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang muncul sebagai pengeksport utama dengan menyumbang sebanyak 31.9 peratus manakala Johor (19.9 peratus); Selangor (18.4 peratus); Sarawak (8.2 peratus) dan Kuala Lumpur (3.5 peratus).

Mohd Uzir berkata bagi import pula, Selangor menjadi penyumbang utama sebanyak 25.6 peratus dan diikuti oleh Johor (23.4 peratus); Pulau Pinang (22.2 peratus); Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (5.2 peratus).

— BERNAMA