CHOW KON YEOW

PULAU PINANG – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi negeri Padang Kota, seterusnya menjadi ketua menteri buat kali terakhirnya.

Kon Yeow berkata, pilihan raya negeri akan datang bakal menjadi “perang terakhir” dan beliau akan memperjuangkan peluang untuk bertanding di Padang Kota.

“Jika saya dilantik semula sebagai ketua menteri, maka ia juga merupakan kali terakhir. Lima tahun lagi, saya akan berumur 70 tahun.

“Lagipun, kerajaan PH Pulau Pinang telah meminda perlembagaan negeri iaitu seseorang tidak boleh memegang jawatan ketua menteri lebih daripada dua penggal.

“Ini merupakan salah satu manifesto PH dan saya sendiri yang mengusulkan pindaan ini. Oleh itu, saya semestinya tertakluk kepada perlembagaan,” katanya kepada Guang Ming Daily.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata,  “mod pilihan raya” DAP Pulau Pinang diteruskan dari pilihan raya umum hingga selesainya pilihan raya negeri.

“Pada masa ini, cuma calon dan bahan kempen yang belum diputuskan, benda lain boleh dikatakan telah siap,” katanya.

Menurutnya lagi, PH Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum berbincang dengan BN mengenai pengagihan kerusi.

“Perbincangan rasmi antara dua pakatan politik ini akan diadakan pada awal Mei,” katanya. – MalaysiaGazette