Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Pas menangguhkan Muktamar Tahunan ke-69 yang dijadualkan 3 hingga 5 Mei ini bagi membolehkan jenteranya membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memaklumkan tarikh baharu muktamar akan diberitahu kelak.

“Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 yang sepatutnya diadakan 3 hingga 5 Mei ini ditangguh kepada suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Penangguhan ini dibuat bagi memberi tumpuan kepada PRN yang akan diadakan di enam negeri termasuk Kelantan tidak lama lagi.

“Ikut jadual, Kelantan sepatutnya tuan rumah muktamar tahun ini. Namun, tarikh baharu belum diputuskan. Mungkin diadakan September ini,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, dalam mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat itu menjangkakan PRN diadakan sama ada Julai atau Ogos ini.

Kata beliau, walaupun muktamar tahun lepas diadakan September, parti itu berhasrat mengadakan lebih awal tahun ini.

“Bagaimanapun, muktamar kali ini terpaksa ditangguhkan juga,” katanya.

Pas mempunyai 197 kawasan di seluruh negara dan mesyuarat agung di peringkat kawasan mahupun cawangan termasuk dewan setiap negeri sudah pun selesai baru-baru ini. – MalaysiaGazette