Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan dan pelaksanaan Op Selamat 20 bersempena sambutan Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April lalu telah mencapai objektif yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelaksanaan Op Selamat  di seluruh negara mencapai kejayaan  hasil kerjasama erat serta sokongan padu melibatkan semua pihak.

Katanya, selain Op Selamat 20, pelaksanaan Op Lancar selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 April turut mencapai sasaran yang PDRM dalam menjamin keselamatan pengguna jalan raya pada musim perayaan di seluruh negara kali ini.

“Alhamdulillah, Op Lancar serta Op Selamat 20 sempena sambutan Aidilitri 2023 telah pun berjaya dilaksanakan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri serta keluarga, demi memastikan keselamatan rakyat diberikan keutamaan sepanjang musim perayaan ini.

“Sesungguhnya, jasa serta pengorbanan para petugas dalam memastikan keadaan lalu lintas berjalan lancar serta kediaman yang ditinggalkan terjaga daripada sebarang insiden yang tidak diingini adalah amat dihargai,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman hari ini.

Menurut Acryl Sani, kejayaan tersebut menunjukkan komitmen tinggi warga pasukan PDRM dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan secara efektif dan berkesan untuk menjamin kesejahteraan pengguna dan rakyat.

“Kebijaksanaan barisan kepimpinan PDRM dalam menyusun strategi penugasan dan penggiliran tugas secara teliti sepanjang musim perayaan Aidilfitri pada kali ini sejak 20 April lalu juga harus diberikan pujian.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan-pasukan sahabat, syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, rakan-rakan kolaborasi serta pihak media yang turut berganding bahu dalam memastikan Op Selamat 20 pada kali ini berjalan lancar dan mencapai objektifnya.

“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada seluruh ahli masyarakat yang telah mematuhi peraturan dan undang-undang demi memastikan keselamatan diri serta insan yang tersayang,” tegas beliau. – MalaysiaGazette