Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui dan mengiktiraf pengampunan ke atas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan hari ini adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd. Samad menegaskan, parti itu berpandangan, pengampunan itu akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian kerajaan terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, ia akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun kita mengiktiraf pengampunan itu, tetapi tidak salah untuk kita memberi pandangan terhadap isu ini.

“Adalah diharapkan pandangan ini apabila disuarakan akan membantu Yang di-Pertua Agong untuk membuat keputusan yang baik dan tepat bagi dirinya, institusi Raja-raja Melayu dan negara ini secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini, Lembaga Pengampunan akan bersidang dan membuat keputusan sama ada memberikan pengampunan kepada Najib atau sebaliknya.

Menurut Khalid, keputusan itu akan menetapkan batu tanda yang penting dalam sejarah Malaysia, sekali gus memberi petanda sejauh mana perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa diambil serius atau sekadar cogan kata politik dan pilihan raya sahaja.

Katanya, sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan melalui Pakatan Harapan (PH), ramai turut hairan dengan apa yang disebut sebagai “the deafening silence” atau “kesunyian yang memekakkan” berhubung isu ini, khususnya oleh parti gabungan.

“Semua memahami, masalah dan penghalang utama terhadap membangunkan sebuah masyarakat madani dalam konteks negara kita adalah rasuah dan salah guna kuasa.

“Ianya sering dikatakan bahawa rasuah dan salah guna kuasa telah dijadikan budaya rakyat negara dan oleh itu apa jua usaha untuk membangunkan sebuah masyarakat dan negara madani mesti menumpaskan pengamal rasuah dan salah guna kuasa secara tuntas dan muktamad.

“Justeru, kerajaan semestinya mengisytiharkan perang terhadap amalan terkutuk ini,” tegasnya.

Khalid turut mempersoalkan, apakah memberikan pengampunan kepada orang yang telah memalukan negara di serata dunia akan menunjukkan sikap tegas dan tiada kompromi negara terhadap rasuah?

“Sudah pasti tidak! Sebaliknya ianya akan memberikan isyarat salah bahawa perang rasuah hanya cogan kata kosong untuk kepentingan politik dan akhirnya semua akan kembali seperti biasa.

“Apatah lagi, satu demi satu negara di dunia sedang membicarakan pihak yang bersekongkol dengan Najib dalam skandal 1MDB ini. Kalau sebelum ini Amerika Syarikat, Singapura, Kuwait dan terkini Switzerland pula membicarakan pesalah dalam skandal ini,” katanya.

Kata beliau, selepas 13 dari 14 hakim bersidang bagi membicarakan Najib yang memutuskan beliau bersalah, tiba-tiba negara melalui Lembaga Pengampunan mahu memberikan pengampunan kepada beliau pula?

“Tidakkah ini bererti adanya golongan yang kebal undang-undang dan ‘above the law’?

“Persoalan pengampunan ini dibawa oleh UMNO atas rasa tanggungjawab mereka terhadap bekas presiden mereka. Walaupun sifat kesetiaan dan mengenang jasa terhadap pemimpin secara amnya adalah satu sifat positif, namun dalam konteks ini lebih baik UMNO bersama PH menunjukkan komitmen terhadap usaha memerangi rasuah yang menjadi paksi masyarakat madani.

“Tindakan UMNO kelihatan sedikit terpesong dari wawasan masyarakat madani yang diperjuangkan bersama. Lagipun, Najib berdepan dengan banyak lagi kes di mahkamah yang sedang dibicarakan,” katanya.

Katanya, apakah selepas diampunkan, Najib akan masuk ke penjara lagi jika didapati bersalah selepas ini, atau dianggap berada di satu maqam dan kedudukan istimewa yang kebal undang-undang?

“Dengan penuh hormat dan takzim, kami dari Parti Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak dan Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan.

“Hanya dengan itu rakyat akan yakin kerajaan perpaduan dan Institusi Raja-raja Melayu bersama Yang di-Pertuan Agong ingin menyelamatkan negara dari pandemik rasuah dan salah guna kuasa yang melanda negara sejak sekian lama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Khalid samad terkencing dan terkucil takut dsnr mendapat pengampunan. Justeru menangguk di air yang keruh Hentikan lah lakonan awak.

  2. Lid, biar proses berjalan ikut apa yg wajar. Hang tak perlu ulas apa2 sbb hang pun bukan ada apa2 lg… bertanding pun kalah. Perpaduan yg dibentuk juga sokongan dan dokongan semua pihak. Jika hang ulas hal yg boleh melemahkan pihak yg sokong perpaduan maka runtuhlah perpaduan trsbt.

Comments are closed.