Zahid Hamidi menghadiri Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pontian di Dewan Muafakat Kompleks Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian di Benut, Johor hari ini.

PONTIAN- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berharapĀ  mana-mana parti politik yang bersahabat dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak separtutnya memberikan komen mengenai pengampunan Najib.

“Kita serahkan kuasa mutlak ini kepada Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini merupakan budi bicara baginda. Saya tidak mengalukan-alukan mana-mana pendapat daripada sebarang pertubuhan apatah lagi, parti-parti politik yang bersahabat dengan kita (BN) yang memberikan komen yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pontian di Dewan Muafakat Kompleks Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian di Benut hari ini.

Terdahulu, Parti Amanah Negara (Amanah) merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya permohonan pengampunan terhadap Najib ditolak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Tegas Ahmad Zahid lagi, perkara itu hanya akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baru-baru ini, Presiden UMNO itu mengesahkan parti itu sedang berusaha mencari tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan rayuan pengampunan terhadap Najib.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Seri Paduka Baginda untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengampunan Najib batu tanda penting sejarah negara – Khalid

1 Komen

  1. Ok lah tu..tarik keluar jaa sokongan BN kepada kerajaan..biar Khalid & Mat Sabu tubuhkan kerajaan sendiri dgn PAS

Comments are closed.