Suasana hiba dan gembira ahli keluarga menyambut kepulangan antara 30 rakyat Malaysia dari Khartoum, ibu negara Sudan selepas dilanda konflik ketika di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2023.

SEPANG – Mana-mana rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat Sudan perlu menangguhkan dulu hasrat mereka memandangkan konflik di negara itu masih belum pulih.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, keadaan ‘perang’ yang berlaku tiba-tiba itu sehingga menyebabkan semua pihak dalam keadaan terpinga-pinga dan situasi masih lagi belum aman.

“Kita juga hendak mohon kepada semua untuk menyalurkan maklumat kepada kementerian sekiranya ada ahli keluarga mereka yang masih berada di Sudan. Kita nasihat rakyat Malaysia yang ingin atau ada perancangan melawat Sudan, hendaklah tangguh perjalanan sehingga keadaan kembali pulih.

“Juga kita minta sekiranya ada mana-mana pihak atau rakyat Malaysia yang mengetahui masih ada ahli keluarga berada di sana, sila maklumkan kepada Wisma Putra supaya boleh bantu untuk cari mereka,” katanya.

Suasana hiba dan gembira ahli keluarga menyambut kepulangan antara 30 rakyat Malaysia dari Khartoum, ibu negara Sudan selepas dilanda konflik ketika di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2023.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini selepas menyambut ketibaan 30 rakyat Malaysia yang dikeluarkan dari negara konflik Sudan yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Mohamad Alamin.

Ketibaan rakyat disambut wakil Wisma Putra serta keluarga dan sanak saudara dengan linangan air mata kegembiraan selepas mereka telah diterbangkan dari Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan komersial Saudi Air.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan komited dalam memastikan keselamatan rakyat menjadi keutamaan tidak kisah yang sudah berdaftar atau sebaliknya.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul bergambar antara 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan selepas dilanda konflik ketika di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2023.

“Bagi rakyat Malaysia yang berkemungkinan masih ada di sana, Wisma Putra akan memantau perkembangan dan berusaha membawa mereka keluar dengan selamat.

“Itu komitmen kita, jika masih ada lagi rakyat kita di sana, namun setakat maklumat diberikan kedutaaan, ini sahaja jumlah rakyat Malaysia yang ada dan kita bawa pulang kecuali dua rakyat kita yang masih di sana yang berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kepulangan konvoi rakyat Malaysia di Sudan itu sememangnya dinantikan seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti secara dekat perkembangan di Sudan.

“Kerajaan turut sampaikan junjungan kasih Yang di-Pertuan Agong atas keprihatinan baginda yang mengikuti setiap detik perkembangan rakyat Malaysia di sana.

“Kita juga ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau yang mengikuti perkembangan dan ambil langkah supaya pastikan operasi dibuat sebaik-baiknya termasuk hubungi pemimpin terbabit pertikaian di sana.

“Atas usaha itu kita dapat laksanakan misi ini biarpun sukar, tahniah dan penghargaan kita kepada pasukan operasi dari Malaysia dan di Sudan diketuai duta kita. Ini usaha rakyat dikeluarkan dari peperangan,” ujarnya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pemimpin dan Kerajaan Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan yang diberikan dalam operasi berkenaan.

Difahamkan, rakyat Malaysia yang tiba telah menempuh perjalanan panjang dari kawasan konflik ke Pelabuhan Sudan, lebih 1,300 kilometer dan menempuh 30 jam perjalanan, menempuh pelbagai halangan sebelum akhirnya mereka sampai dengan selamat di KLIA hari ini. -MalaysiaGazette