Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad

MELAKA – Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh digesa mengarahkan Exco Kanan yang terpalit dakwaan rasuah seks segera membuat laporan polis bagi membuktikan beliau difitnah seperti didakwa.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sebagai ketua menteri yang baharu dilantik, Ab Rauf perlu berani mengambil tanggungjawab itu sekali gus membersihkan imej kerajaan negeri pimpinannya.

Menurutnya, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin juga tidak seharusnya berdiam diri jika beliau difitnah, sebaliknya perlu membuat laporan polis untuk menghentikan tohmahan terhadapnya.

“Sebagai Ketua Menteri yang baharu memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri, Datuk Seri Ab Rauf mesti tunjukkan imej yang baik di kalangan rakyat…bahawa pimpinan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah pemimpin yang benar-benar bersih.

“Tak bagi Datuk Rais cuti pun tak apa, hanya arahkan beliau buat laporan polis untuk bersihkan nama baik kerajaan negeri Melaka dan kita akan beri sokongan penuh kepada ketua menteri jika beliau berani ambil tanggungjawab ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kediamannya di Baitul Tariq, Klebang di sini malam tadi bagi mengulas tindakan Rais menafikan terlibat rasuah seks yang dikaitkan terhadapnya, namun tidak membuat sebarang laporan polis untuk siasatan lanjut.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang tewas mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu kepada Rais pada pemilihan 18 Mac lalu turut mendesak Rais mengambil tanggungjawab sama meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu yang dikatakan fitnah oleh musuh politiknya.

“Datuk Rais mesti buat laporan polis bagi menghindarkan apa juga fitnah yang dikatakan terhadapnya itu mesti dibersihkan dan kalau ini boleh dilakukan, beliau akan lebih mudah untuk laksanakan tugas sebagai exco.

“Esok (hari ini), kita sebanyak 20 cawangan UMNO Tangga Batu akan buat laporan polis untuk menyiasat jika dakwaan ini tidak benar demi membersihkan nama Rais dan beliau tidak perlu takut jika benar difitnah,” katanya.

Semalam, Rais yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menyifatkan dakwaan rasuah seks melibatkannya adalah untuk menjatuhkan karier politiknya kerana ia telah bermula ketika pemilihan UMNO pada Mac lalu.

Artikel berkaitan: ‘Saya tak pernah beri rasuah seks, sedia bantu SPRM’ – Rais Yasin

Walaupun tidak bercadang membuat laporan polis mengenai tuduhan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.

Pada pemilihan UMNO 18 Mac lalu, Rais menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menewaskan Mohamad Ali selaku penyandang dengan majoriti empat undi selepas memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali mendapat 278 undi. – MalaysiaGazette.

 

1 Komen

  1. Seks tu “tidak berapa Salah” ke?
    boleh ubah-ubah ikut selera dan keperluan?
    atau ini trend kerajaan PERBANDUAN?
    Rakyat MELAKA ok je boleh TERIMA
    ye ke dak tu….

Comments are closed.