Seorang remaja cedera parah selepas terkena tayar yang terpeanting keluar dari lori membawa buah kelapa sawit di Kampung Buntut Pulau, Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Seorang remaja cedera parah selepas terkena tayar yang terpelanting keluar dari lori membawa buah kelapa sawit di Kampung Buntut Pulau di sini hari ini.

Akibatnya, mangsa, Waliyudin Abdullah, 12, kini dimasukkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah di sini kerana patah bahu kanan dan pendarahan di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa sedang menunggang basikal.

Sebelum itu, tayar lain dari lori yang dalam perjalanan menuju ke Triang itu dikatakan telah terkena sebuah kereta milik penduduk yang diparkir di tepi jalan sehingga menyebabkan kenderaan itu remuk.

Sementara itu, Ketua polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis juga dalam kenyataan malam ini menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu pihaknya menjalankan siasatan.

Mereka boleh membantu siasatan dengan menghubungi Cawangan Trafik IPD Temerloh di talian 09- 2716086. – MalaysiaGazette