KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Naim Mokhtar berkata, agihan itu melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.

Beliau berkata, agihan keuntungan itu adalah kompetitif mengambil kira antaranya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan iaitu 2.34 peratus dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit.

“Agihan keuntungan 2022 adalah selepas TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri bagi pihak pendeposi menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini.

“Jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022 lebih tinggi 7.0 peratus berbanding 2021 iaitu RM2.46 bilion walaupun kadar dividen kekal sama iaitu 3.1 peratus.

“TH telah mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan alokasi aset strategik untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu.

“Usaha ini membantu dalam penjanaan hasil bagi memastikan kadar agihan berpatutan bagi tahun kewangan 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Mohd. Naim turut memberitahu jumlah pendeposit baharu TH pada tahun 2022 adalah seramai 400,00 orang.

Sementara itu, para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari pada 29 April ini menerusi platform THIJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Urusniaga TH juga akan ditangguhkan sementara waktu bermula puku 8 malam 28 April ini sehingga 12 tengah hari keesokkannya bagi melancarkan urusan pengkreditan Agihan Keuntungan. – MalaysiaGazette