Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman

KUALA LUMPUR – Bina Darulaman Berhad (BDB) bakal melancarkan acara yang dikenali sebagai BDB @ Langkawi bersempena dengan Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA) 2023.

Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, acara tersebut menandakan penglibatan sulung BDB mewakili kerajaan negeri Kedah dalam pameran itu.

Menurut beliau, objektif penganjuran BDB @ Langkawi adalah untuk tampil dan memberikan sokongan penuh kepada LIMA 2023 sambil meneroka kemungkinan masa depan bagi syarikat tersebut untuk mula bertapak di Langkawi.

“Sudah tiba masanya kita menggunakan dan menggembleng segala sumber untuk membawa kumpulan BDB ke tahap yang lebih tinggi. BDB @ Langkawi yang akan dilancarkan semasa LIMA 2023.

BDB Langkawi

“Pameran tersebut merupakan platform untuk BDB memulakan projek pada masa depan di samping meneroka potensi perniagaan dengan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa sambil mengukuhkan hubungan dengan pemegang berkepentingan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Shahreen memberitahu, BDB @ Langkawi akan menyaksikan dua tarikan utama yang dikenali sebagai Airventure dan The Langkawi ArtBox atau The LAB.

Beliau menambah, penganjuran itu bukan sahaja dilaksanakan untuk pengunjung LIMA tetapi juga untuk syarikat korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan tempatan mengetengahkan jenama dan produk serta perkhidmatan mereka semasa berlangsungnya acara tersebut.

“BDB akan membangunkan anjung tinjau di tanah lapang yang menghadap ke landasan di mana penonton boleh menikmati pemandangan terbaik pertunjukan udara di kawasan Airventure.

“Kawasan ini juga menawarkan tiga jenis anjung tinjau iaitu chalet dua tingkat, ‘cabana’ dan ‘green box’ untuk syarikat dan penaja serta kawasan koktel untuk orang awam.

“Terdapat juga festival makanan daripada pengusaha tempatan yang menyajikan pelbagai juadah tempatan,” jelasnya.

Raja Shahreen berkata, The LAB pula menawarkan pelbagai jenis makanan dan aktiviti dikelilingi dengan kedai kabin kontena yang menarik.

“The LAB terletak bertentangan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan terletak dalam jarak berjalan kaki ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri,” katanya. – MalaysiaGazette