Anwar bersalam dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, Alor Setar sebelum ini.

ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nekad mahu membasmi masalah kemiskinan tegar yang membelenggu segelintir rakyat di negara ini.

Kata beliau, tumpuan lebih akan diberikan kepada negeri yang mempunyai jumlah penduduk miskin tegar yang tinggi, sekali gus dapat membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Jelas beliau, antara negeri yang masih mencatatkan jumlah kemiskinan tegar ialah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Isu kemiskinan tegar ia adalah mengaibkan negara kerana Malaysia mempunyai potensi dan khazanah besar seperti minyak, gas, kelapa sawit dan industri, namun gagal menyelesaikan kemiskinan tegar

“Jadi kita sasar untuk memberi noktah berhubung masalah ini termasuk di negeri Kedah dan ia akan ditangani melalui pelbagai program Kerajaan Perpaduan.

“Sehubungan itu, saya minta kerjasama agensi Kerajaan Pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk turut bantu menyelesaikan isu ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan juga akan memberikan pelbagai bantuan kepada Kedah tanpa mengira faktor negeri pembangkang.

“Kedah antara negeri yang diberi tumpuan, kita memutuskan untuk beri peruntukan yang tinggi berbanding tahun lalu, iaitu mencecah RM1.6 bilion pada 2023 tidak termasuk bantuan seperti membaiki sekolah dan klinik daif serta projek bekalan air di beberapa daerah.

“Saya beri jaminan untuk mempercepatkan semua proses dengan kerjasama negeri dan PBT.

“Macam saya sebut, sama ada kerajaan negeri bersama parti Kerajaan Perpaduan atau tidak, tanggung jawab kita adalah memelihara rakyat tetap diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette