KUANTAN – Seorang wanita menemui seorang bayi yang baharu lahir di atas pangkin di sebuah bangsal yang telah runtuh di Kampung Peramu, Tanjung Lumpur, dekat sini, hari ini.

Sejurus selepas menemui bayi itu, wanita yang dikenali dengan panggilan Mak Ti memanggil jirannya-jiranya bagi mendapatkan bantuan.

Menurut salah seorang penduduk kampung tersebut, Azilawati Nasrul, bayi lelaki yang ditemui pada jam 12.30 tengah hari dalam keadaan tidak berpakaian itu sedang menangis dan terdapat luka di bahagian badan.

”Mulanya jiran depan rumah jumpa terus panggil kami, cepat-cepat selamatkan dan selimutkan bayi dengan kain batik.

”Kami sendiri tidak sedar bila sebenarnya bayi ini ditinggalkan, sama ada malam tadi atau hari ini. Sebab tengok kesan darah dah kering pada tangan, tali pusat juga sudah digunting. Habis kerengga ketik (gigit) pada badan dan kepala bayi itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

”Sungguh apabila tetiba jumpa bayi depan mata memang terkejut betul, biasa kita dengan berita tengok gambar, tapi kali ini jumpa kes orang buang bayi ada di depan mata. Memang tergamam sekejap,” katanya ketika dihubungi.

Azilawati berkata, sejurus selepas itu penduduk kampung tersebut menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan bayi itu.

”Selang beberapa minit pihak peronda polis tiba, dan bayi tersebut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan lanjut.” ujarnya.

Semetara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut dan siasatan sedang dilakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast