IPIC SMPC Akmal semakan kehakiman Pemuda UMNO Al-Aqsa parti politik
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar mana-mana sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang tidak mampu menampung kos operasinya diserap dalam sistem sekolah aliran kebangsaan.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, langkah itu seharusnya dipertimbangkan sekiranya peruntukan sebanyak RM15.7 juta disalurkan kerajaan kepada SMPC baru-baru ini adalah atas faktor kekurangan dana.

“Saya percaya lebih banyak sekolah aliran kebangsaan yang daif dan lebih memerlukan bantuan dana dari sekolah persendirian Cina yang kita semua sedia maklum dibiayai secara persendirian oleh pihak swasta tanpa memerlukan dukungan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kelulusan peruntukan tersebut kepada SPMC manakala sekolah tahfiz dan institusi pondok menerima dana RM150 juta.

Dr Akmal memberitahu, jika dilihat secara terperinci, agihan peruntukan itu membangkitkan persoalan dari segi purata jumlah peruntukan yang diberikan.

“Sebagai contoh RM150 juta diperuntukkan bagi 1,276 institusi sekolah agama berdaftar yang membawa maksud setiap satu sekolah hanya mendapat RM117,500 berbanding RM15.7 juta bagi 63 buah SMPC, satu sekolah mendapat RM250,000.

“Selain itu, kedudukan institusi sekolah agama dan SMPC adalah tidak sama di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan pendidikan agama diberikan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukannya Kementerian Pendidikan di mana ia menunjukkan punca kuasa kewujudan institusi tersebut di bawah peruntukan Perlembagaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tentang kriteria yang digunakan untuk menentukan jumlah peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan SMPC.

Dr Akmal menambah, sekiranya penentuan peruntukan oleh kerajaan adalah mengikut purata bilangan sekolah, Pemuda UMNO menggesa agar kerajaan menyemak semula kadar peruntukan purata SMPC untuk diseragamkan dengan peruntukan kepada institusi pendidikan agama.

“Bakinya perlu diberikan kepada sekolah menengah aliran kebangsaan yang secara jelas untuk semua kaum dan berpaksikan silibus kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette