Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta meluangkan sedikit masa untuk mendengar luahan nelayan mengenai pelaksanaan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di negeri ini pada 6 Mei depan.

Timbalan Pengerusi Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, pertemuan itu membolehkan golongan yang terkesan serta badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan bantahan mereka secara terus kepada perdana menteri  agar mendapat penilaian terbaik.

Jelas beliau, ia juga secara tidak langsung memudahkan golongan berkenaan daripada terpaksa ke Putrajaya semata-mata bagi menyatakan bantahan.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Anwar) atas kesediaan untuk mendengar pendapat nelayan mengenai projek PSI.

“Kesediaan Perdana Menteri menunjukkan  beliau mesra dengan rakyat negeri ini berbanding Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang menunjukkan keangkuhannya dengan mengatakan bahawa kemenangan Pakatan Harapan di kawasan penambakan itu.

“Dikesempatan ini, kita mohon beliau (Anwar) memperuntukan sedikit masa ketika beliau hadir ke negeri ini pada 6 Mei depan untuk bertemu dan mengadakan dialog pendek bersama nelayan serta NGO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, pertemuan pendek itu akan memberi harapan besar buat golongan nelayan dan NGO berbanding beliau meluangkan masa lebih banyak di rumah terbuka yang akan diadakan nanti.

“Saya percaya perdana menteri pasti akan bersimpati kepada rakyat Pulau Pinang dan akan ambil maklum berhubung permintaan ini.

“Malah kita juga berharap projek PSI yang mendapat tentangan ramai pihak itu dibatalkan selepas Kerajaan Pusat mendengar pendapat umum,” jelas beliau.

Rabu lalu, Projek PSI yang mendapat tentangan hebat mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

Pengumuman kelulusan projek itu dimaklumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

PSI bernilai RM11 bilion membabitkan penambakan laut secara besar-besaran, termasuk pembinaan tiga pulau buatan adalah sebahagian daripada pelan induk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Party Gerakan patut KUAT BERLAKON baru la ANWAR IBRAHIM syok….. ada masa lagi… kenyit kenyit la mata tu ke dia …

Comments are closed.