Tan Sri Noh Omar
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar

SHAH ALAM – Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah semalam sebenarnya bukan bertujuan untuk meraikan sambutan Aidilfitri, sebaliknya lebih kepada berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun dengan sinis menyifatkan majlis rumah terbuka Aidilfitri di negeri pembangkang itu sebagai Rumah Terbuka Pilihan Raya.

“Sekarang ini jamuan raya madani, itu bagi saya bukan jamuan madani, itu Jamuan Pilihan Raya Madani. Bila dengar ucapan, ini ucapan Selamat Hari Raya… ucapan permulaan pilihan raya.

“Kalau kata Madani, rakyat pun boleh nilai, kalau betul madani, mengapa tak buat kat Sabah dan Sarawak, mereka tak ada sambutan hari raya? Mengapa ditumpukan kepada enam negeri.

“Memanglah makan ketupat, lontong, berapa sen saja pun, tak banyak, tak payahlah nak mengelirukan rakyat, rakyat ketawa saja,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.

Semalam, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Kedah anjuran Kerajaan Perpaduan mendapat kritikan banyak pihak kerana bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Pada 22 Disember lalu, Perdana Menteri meminta semua kementerian dan agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran untuk mengelak pembaziran perbelanjaan kerajaan.

Menurut Anwar, antara amalan pembaziran tersebut termasuk pembelian pakaian baharu bagi sesuatu majlis atau program yang dilaksanakan.

Beliau berkata, jika amalan itu dapat dihentikan, peruntukan berkenaan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Noh juga menegur pimpinan negara agar tidak menerapkan unsur-unsur kebencian dan persengketaan dalam majlis Aidilfitri bersama rakyat kerana ia hanya mencemarkan sambutan hari raya.

“Kita pun selalu buat rumah terbuka, berapa kali kita buat, mana ada kita bercakap politik sebab raya, kita bermaaf-maafan bukan kutuk mengutuk, itulah tujuan jamuan raya melainkan itu kempen pilihan raya, itu betul.

“Ini jamuan raya Madani, tiba-tiba jadi mukadimah kempen pilihan raya, tak kenalah.

“Program seperti ini pun rakyat menilai, apa beza apabila menggunakan kemudahan kerajaan untuk politik, buat apa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bg rakyat makan2 ape masalahnyer? Hang dulu masa jd pak menteri bt benda yg sama jugak.. alahai noh.. nk tunjuk hebat pulak bila nak PRN ni..

Comments are closed.