Datuk Mohamed Shafie BP Mammal. Foto NOOREEZA HASHIM.

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mendesak parti-parti politik supaya henti bercakaran sebaliknya menumpukan memberi perkhidmatan dan kesejahteraan kepada rakyat dan pekerja dengan mengutamakan keperluan menunaikan janji dan tawaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berharap kerajaan dan majikan mengambil tindakan tegas dengan segera bagi menyelesaikan kesemua 12 perkara yang digariskan demi memartabatkan hak, kebajikan dan kepentingan pekerja di Malaysia.

“UNI-MLC mengharapkan satu tindakan holistik bagi menangani pelbagai isu dan masalah yang melanda pekerja-pekerja di Malaysia sejak kebelakangan ini.

“Negara tiada pilihan kecuali menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh UNIMLC sempena sambutan Hari Pekerja 2023 jika kita ingin melihat persekitaran kerja yang lebih harmoni, kondusif dan berkualiti.

“Isu-isu yang dibangkitkan ini telah lama berlarutan dan memerlukan keutamaan tindakan efektif di pihak kerajaan yang menjadi tempat harapan rakyat dan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Pekerja esok.

Menurut Mohamed Shafie, selari dengan konsep Malaysia Madani, UNI-MLC memohon pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi wajah baharu kepada para pekerja di sektor awam dan swasta.

Antara desakan UNI-MLC, pihaknya mahu majikan, kedua-dua sektor awam dan swasta dan kerajaan memberi keutamaan kepada 12 perkara demi memartabatkan pekerja-pekerja di Malaysia.

Mohamed Shafie berkata, pertama kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia digesa mengadakan dialog dengan semua pemegang taruh untuk menyemak dasar dan undang-undang perburuhan agar lebih sesuai dengan keperluan semasa selepas pandemik Covid-19.

“Negara memerlukan satu dasar perburuhan yang dapat memenuhi keperluan dan cabaran era pasca Covid-19,” katanya.

Pihaknya juga menuntut kerajaan menangani masalah kos sara hidup yang meningkat dengan ketara setiap hari ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kerajaan kena memastikan pekerja apabila bersara kelak mempunyai simpanan yang secukupnya, yang munasabah mengikut keadaan semasa dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Oleh itu, Kerajaan perlu menaikkan kadar
caruman KWSP bahagian majikan daripada 13% kepada 20% terutama bagi pekerja-pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah,” katanya.

Kerajaan juga perlu mengkaji semula umur persaraan wajib 60 tahun dan dasar semasa hendaklah disemak bagi membolehkan pekerja bekerja sehingga mereka lengkap 60 tahun bukannya ketika permulaan umur berkenaan.

Pemakaian Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) hendaklah dipanjangkan kepada pekerja-pekerja di Sabah dan Sarawak untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja terbela sebagai sebuah negara persekutuan.

Pihaknya juga mendesak kerajaan mengkaji semula bayaran pencen yang rendah kepada pesara-pesara Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kerana mereka menerima pencen di bawah paras kemiskinan.

Perkara ini telah dikemukakan kepada kerajaan lebih 15 tahun lalu, malangnya tiada respons, dakwanya. – MalaysiaGazette