Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Doktor kanak-kanak dan cikgu berpendapat tidak perlu melaksanakan “cuti panas” tetapi perlu menyelaraskan aktiviti sekolah semasa suhu tinggi.

Pensyarah Jabatan Pediatrik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Gan Chin Seng berkata, konsep “cuti musim panas” tidak pernah timbul di Malaysia sehingga baru-baru ini apabila berlaku cuaca yang sangat panas.

Beliau bagaimanapun berpendapat, pihak sekolah tidak perlu melanjutkan cuti, tetapi hanya perlu mengelakkan murid berjemur di bawah matahari.

“Pihak sekolah juga perlu memastikan pengudaraan yang baik dalam kelas dan menghentikan aktiviti luar atau berjemur.

“Jika di luar, ia masih boleh diterima jika murid dilindungi daripada matahari,” katanya kepada China Press.

Katanya, susulan daripada perubahan cuaca, sesetengah negara seperti India dan Sri Lanka mencatatkan suhu yang lebih tinggi daripada Malaysia.

“Ini merupakan ‘trend’ di bawah perubahan cuaca dunia, oleh itu tindakan yang lebih sesuai adalah menyelaraskan kemudahan dan aktiviti.

“Melanjutkan cuti hanya akan menyebabkan gantian kelas dan menganggu perancangan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Fouzi Singon juga berpendapat tidak perlu melanjutkan cuti kerana tindakan itu akan menjejaskan jumlah hari persekolahan.

Beliau sebaliknya mencadangkan penutupan sekolah sekiranya berlaku cuaca yang ekstrim.

“Yang penting, ibu bapa perlu menasihatkan anak untuk banyak minum air dan memastikan mereka membawa air yang cukup ke sekolah.

“Pihak sekolah pula perlu mengelakkan aktiviti luar,” katanya,

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, Jemaah Menteri akan berbincang keperluan untuk melanjutkan cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri atau sebaliknya, berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Katanya, kerajaan sudah pun menyelaraskan kerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan bagi membantu rakyat menghadapi fenomena cuaca panas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Elak berjemur bwh matahari..adik aq bru naik sekolah harini dah ada merentas desa dua hari berturut ii..amende elaknya

Comments are closed.