JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung isu batu nisan yang “hilang” di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, Pandan, di sini baru-baru ini.

Pengarah JAINJ Jamaludin A Hamid berkata sehubungan itu, orang awam diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu yang turut tular di laman Facebook, sejak Jumaat lepas.

“JAINJ mengambil maklum tentang penularan satu tangkap layar yang memaparkan mengenai isu kehilangan batu nisan di tanah perkuburan tersebut sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan waris dan masyarakat.

“Justeru, kita mencadangkan langkah wajar yang perlu ditambah baik dan diselenggara oleh pengurusan tanah perkuburan berkenaan bagi mencegah kegiatan kecurian ini daripada terus berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan sebanyak 11 batu nisan di tanah perkuburan berkenaan “hilang”, dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab untuk dijual semula.

Menerusi tinjauan yang dilakukan di tanah perkuburan itu semalam, kebanyakan batu nisan yang dicuri ialah jenis batu sungai yang harganya mencecah lebih RM450 bagi satu set.

Turut hilang batu nisan putih yang dipercayai berharga RM350 satu set di pasaran.

— BERNAMA