MELAKA – Demi meneruskan minatnya dalam bidang masakan termasuk menawarkan menu Rahmah asam pedas, seorang pekerja swasta di sini sanggup melaburkan wang simpanannya berjumlah RM70,000 untuk membuka perniagaannya itu.
Mohd Khalid Abdul Rahman, 60, berkata, berbekalkan pengalamannya selama 11 tahun dalam bidang masakan, dia mempertaruhkan bakatnya itu sambil dibantu adiknya, Ahmad Nasaruddin, 50, membuka sebuah kafe berkonsepkan ‘Santai Rahmah’.
Menurutnya, Allid’s Cafe yang mula beroperasi secara rasminya semalam mempunyai keunikan tersendiri apabila menawarkan pelbagai menu tempatan termasuk roti, biskut, sandwich dan pelbagai pilihan pastri.
“Malah, bagi memastikan kafe kami terus berdaya saing, semua menu ini ditawarkan pada harga berpatutan termasuk memperkenalkan Menu Rahmah Asam Pedas ikan kembung atau pari beserta minuman pada harga hanya RM5.
“Bagaimanapun, buat permulaan ia hanya ditawarkan pada setiap hari Jumaat tanpa had selain pelanggan juga boleh menikmati menu lain seperti nasi lemak lauk ayam berempah, ayam rendang, sotong, rendang daging, mi dan bihun goreng dan lontong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pembukaan kafe berkenaan di Taman Merdeka Jaya di sini.
Tambah Mohd Khalid, pelanggan juga boleh mencuba nasi ayam penyet presto selain spagetti bolognese, spagetti karbonara dan pelbagai pilihan pastri yang dihasilkan dapur Allid’s Cafe.
Menurutnya, buat permulaan, kafe berkenaan yang dibuka dengan kos mencecah RM70,000 akan beroperasi setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga 8 malam dan boleh memuatkan sehingga 45 pelanggan pada satu-satu masa.
“Selain itu, kami juga menyediakan produk pastri sejuk beku untuk dibekalkan di sekolah-sekolah asrama dan usahawan tempatan selain mengharapkan pelanggan di kafe,” katanya.