JASIN – Kira-kira 100 nelayan di Jeti Pangkalan Nelayan Serkam Pantai, di sini hidup dalam kebimbangan susulan keretakan jambatan penghubung penempatan di jeti itu semakin serius dan berisiko runtuh pada bila-bila masa.
Mereka yang ditemui berkata, keretakan serius pada tiang jambatan konkrit berusia hampir 20 tahun itu boleh mengancam nyawa pengguna yang melaluinya.
Ketua Jawatankuasa Pembangunan Nelayan Serkam Pantai, Md Shah Hashim berkata, situasi lebih buruk apabila pertambahan kenderaan yang melalui jambatan sepanjang 150 meter itu sekaligus mengakibatkan keretakan semakin serius.
“Malah, bukan sahaja kenderaan ringan, bahkan jambatan ini sering dilalui lori yang terbabit dengan beberapa projek pembangunan berhampiran menyebabkan keselamatan kami kian terancam.
“Jambatan usang ini juga menjadi laluan orang ramai termasuk dari luar Melaka untuk ke medan ikan bakar di sini yang sering menjadi tumpuan pelancong,” katanya.
Tambahnya, masalah ini pernah beberapa kali disuarakan kepada pihak berkaitan namun tiada sebarang maklum balas sehingga kini.
Seorang nelayan, Omar Abdullah, 45, turut menggesa agar jambatan konkrit itu segera dibaik pulih bagi menjamin keselamatan nelayan dan orang ramai yang menggunakannya.
“Jangalah sampai dah berlaku tragedi baharulah pihak berkuasa nak buka mata sedangkan masalah ini sudah terlalu lama berlarutan,” katanya.
Pandangan sama dikongsikan Ahmad Bakhtiar Abdullah, 40, kerana terpaksa ‘bergadai nyawa’ melalui jambatan retak itu ke pangkalan nelayan setiap hari.
“Masalah ini pun dah beberapa tahun kita mengadu kepada pihak berwajib tapi sampai sekarang langsung tiada tindakan untuk membela nasib nelayan,” katanya. – MalaysiaGazette.