KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pekerja merupakan tonggak terpenting yang menjayakan agenda pembangunan negara sejak sekian lama.
Menurut beliau, slogan sambutan Hari Pekerja 2023 iaitu ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ mencerminkan aspirasi yang mendukung prinsip kesejahteraan, keadilan, saling menghormati, ihsan serta jalinan kerjasama semua rakyat untuk berganding bahu membina Malaysia menjadi sebuah negara yang bertamadun.
“Saya menyeru semua pihak untuk menjalin usahasama yang erat dalam mempersiapkan sumber manusia negara bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menghadapi tantangan masa hadapan.
“Kita mesti berusaha dan bekerja kuat demi memastikan Malaysia terus maju dalam tahun-tahun mendatang,” katanya dalam hantaran Facebook sempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.
Anwar menambah, tanggal 1 Mei juga adalah hari bagi menghargai daya usaha, jerih perih dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pekerja dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette