Pengasas Persatuan Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin berucap ketika menyertai Pelancaran Gerakan Rakyat yang mengesa untuk penukaran Perdana Menteri Malaysia ketika di Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan Maju Junction dan Kompleks Sogo hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya akan memanggil penganjur kedua-dua perhimpunan untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Dellhan, kedua-dua perhimpunan yang melanggar  peruntukan undang-undang itu diadakan di hadapan Bangunan Maju Junction.

Para peserta kemudian berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak ke Jalan Leboh Ampang (Belakang Bangunan South Tower) dan di Kompleks SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

“Hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati seramai lebih kurang 200 orang menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Bangunan Maju Junction dan seramai lebih kurang 30 orang menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks SOGO,” katanya.

Noor Dellhan menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

Katanya, tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.