KUALA LUMPUR – Isu kenaikan tangga gaji dan hak perlindungan pekerja sektor swasta perlu difokuskan semula terutama kepada mereka yang tidak mendapat keistimewaan seperti penjawat awam.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Mohd Akram Osman mendakwa, masih terdapat ramai antara pekerja syarikat swasta tidak diberikan kenaikan gaji sehingga bertahun lamanya.
Katanya, pekerja swasta adalah antara yang tertinggi telah memberi perkhidmatan kepada orang awam dan juga membantu dalam pembangunan ekonomi negara.
“Syarikat swasta juga harus mempunyai representasi kesatuan pekerja di mana ramai antara pekerja ini tidak mendapat hak perlindungan yang diuar-uarkan oleh kerajaan.
“Kerajaan harus memperbaiki beberapa dasar dalam akta kerja dan akta hak perlindungan sosial agar pekerja swasta ini mendapat keadilan dan hak saksama,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Akram berkata, terdapat beribu pekerja di syarikat swasta terjejas dan telah diberhentikan kerja ketika pandemik Covid-19 dan ramai antara mereka yang masih tidak mendapat pekerjaan tetap atau menerima pendapatan tetap seperti dahulu.
Malah jelasnya, ramai pekerja terbabit memberitahu, mereka hanya menerima pendapatan kurang dari RM1, 500 sebulan sedangkan hutang mereka semakin menimbun hari demi hari.
Katanya, satu polisi baharu harus dilaksanakan demi memberi hak perlindungan kepada mereka yang telah hilang mata pencarian.
“Umpama isu hutang bank, pihak bank tidak boleh menuntut hutang dari pekerja yang telah hilang pekerjaan sehingga mereka mendapat kerja atau gaji tetap.
“Isu ini harus diperhalusi semula oleh pihak kerajaan,” jelasnya.
Tambah beliau, tidak guna jika kerajaan hanya memberi tumpuan terhadap kenaikan gaji semula sedangkan isu sebenar seperti hak dan perlindungan pekerja menjadi masalah besar pada masa depan.
Katanya lagi, polisi perlindungan di bawah Akta PERKESO tidak mampu memberi perlindungan seratus peratus atau jaminan pekerjaan kepada golongan yang telah hilang pekerjaan tetap kerana ia hanya mampu membantu dengan peratusan bayaran gaji kasar selama enam bulan.
“KSM (Kementerian Sumber Manusia) harus mempastikan syarikat swasta mematuhi hak representasi kesatuan pekerja bagi mengelakan isu ketidaksamaan.
“Isu seperti pembuangan pekerja secara rambang di syarikat swasta juga harus di pantau bagi mengelak kehakisan kaum pekerja di syarikat swasta,” katanya. – MalaysiaGazette