Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Permohonan Barisan Nasional (BN) untuk mencabar kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen di Masjid Tanah dan Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dibenarkan Mahkamah Persekutuan.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan untuk membenarkan perbicaraan penuh bagi kes tersebut selepas mendengar rayuan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid dan pengundi Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Turut bersidang ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Tengku Maimun memutuskan petisyen itu wajar didengar melalui perbicaraan penuh dan akan didengar di hadapan hakim pilihan raya baharu.

Panel berkenaan menetapkan pengurusan kes Masjid Tanah pada 5 Mei manakala Kemaman pada 8 Mei ini.

Kerusi Parlimen Masjid Tanah dimenangi Mas Ermieyati Samsuddin manakala kerusi Kemaman milik Che Alias Hamid.

Abdul Hakim mendakwa terdapat unsur-unsur rasuah semasa kempen pilihan raya yang menjejaskan keputusan pilihan raya.

Manakala Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Che Alias mendakwa Ahli Parlimen itu atau ejennya telah melakukan rasuah.

Sebelum ini Mahkamah Pilihan Raya di Melaka dan Terengganu membatalkan petisyen terhadap Mas Ermieyati dan Che Alias selepas membenarkan bantahan awal kedua-duanya atas alasan petisyen itu cacat.

Berikutan itu, Abdul Hakim dan Wan Mohamad Hisham memfailkan rayuan untuk mengembalikan semula petisyen tersebut.

Pada PRU15, Mas Ermieyati mengalahkan tiga calon lain dengan kelebihan 4,411 undi manakala Che Alias mengekalkan kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast