KOTA BHARU – Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Parlimen Ketereh dengan kerjasama Kompeni Perubatan CDERT Ketereh dekat sini menjalankan kempen penjagaan kesihatan sepanjang cuaca panas ekstrem.
Program itu diadakan sekitar jajahan berkenaan berikutan cuaca panas yang melampau melanda Kelantan sejak bulan lalu.
Kempen selama dua hari itu melibatkan program pemberian air mineral percuma kepada penduduk, peniaga dan orang awam yang mengunjungi Pasar Melor bermula semalam hingga hari ini.
Di samping itu, anggota bertugas turut mengedarkan risalah mengandungi panduan ringkas penjagaan kesihatan sepanjang musim panas.
Menurut Ketua Kompeni Perubatan CDERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr. Nurul Ain Razali, program itu antara inisiatif pasukan perubatan APM untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya cuaca panas yang melampau.
“Ini berikutan telah ada beberapa kes melibatkan kelesuan haba dan strok haba selain penyebaran pelbagai penyakit terutama masalah pernafasan dan demam melampau kerana cuaca panas.
“Kami nasihatkan orang awam mengurangkan aktiviti luar bangunan pada siang hari serta memperbanyakkan minum air ketika melakukan aktiviti fizikal terutama melibatkan kawasan luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander CDERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, APM menganggap cuaca panas terik sebagai salah satu daripada bencana.
Katanya, keadaan itu juga mengundang bahaya berterusan dan berskala besar kepada penduduk di kawasan terlibat.
“Atas sebab itu, pasukan ini beranggapan tugas ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab APM kepada masyarakat.
“Kita pilih semalam dan hari ini untuk mengadakan program ini kerana terdapat Pasar Tani Mingguan. Maka lebih ramai pengunjung dan peniaga dapat disasarkan untuk mendapat manfaatnya,” katanya.
Program itu turut disertai Ketua Kompeni CDERT Melor, Mejar Bersekutu (PA) Wan Muhammad Faisal Wan Zin; Pengawai Penyelia Pasukan, Ahmad Akhram Naim Ahmad Sayuty; serta 12 anggota sukarelawan CDERT APM. – MalaysiaGazette