Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN –  Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti tidak akan dibentang pada sidang dewan Undangan negeri (DUN) Pahang yang kan bersidang bermula 8 Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penangguhan itu dilakukan berikutan blok pembangkang masih memerlukan masa untuk meneliti peruntukan yang terdapat dalam RUU berkenaan.

“Mengenai akta lompat parti, selepas berbincang, saya minta speaker DUN supaya berbincang dengan pihak pembangkang.

”Mereka telah meminta kepada kerajaan negeri supaya ditangguhkan buat sementara waktu untuk dibentangkan. Jadi kita terima pandangan mereka untuk diteliti,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri di Lipis, semalam.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri tidak menghadapi masalah berkaitan permintaan pembangkang itu dan perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada speaker DUN, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Pada 12 April lalu, media melaporkan RUU berkaitan larangan lompat parti dijangka dibentangkan pada persidangan DUN Pahang pada 8 Mei  ini.

Jelas Wan Rosdy, RUU itu hanya boleh dibentangkan selepas kedua-dua pihak bersetuju.

Sementara itu, Wan Rosdy tidak pasti berapa lama penangguhan tersebut akan dilakukan.  – MalaysiaGazette