SHAH ALAM – Sebanyak 250 keluarga yang tinggal di Kampung Jawa, Klang menuntut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan masalah dihadapi mereka berhubung janji pampasan yang tidak ditunaikan syarikat pengurusan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (Taiping-Banting).
Mereka yang rata-rata mendiami kampung itu sejak lebih 80 tahun lalu, terkilan dengan sikap lepas tangan pihak terbabit dalam membayar pampasan, sedangkan tanah miliknya telah diambil untuk pembinaan projek lebuh raya itu sejak lapan tahun lalu.
Aktivis sosial yang juga Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, Datuk Dr. Kalai Vanar yang mewakili kumpulan itu mendakwa, pihak berkenaan cuba memperkotak-katikkan penduduk dengan bermacam-macam janji sebelum ini.
Katanya, proses pengambilan tanah untuk projek lebuh raya itu melibatkan Seksyen 3 dari persimpangan NKVE/FHR2-Mukim Klang telah bermula sejak 2015.
Malah, tegas beliau, kerajaan negeri telah mengutip cukai taksiran untuk lot penduduk di situ sehingga 2015 iaitu sebelum tanah tersebut diwartakan.
“Penduduk di sini telah dijemput untuk perbincangan oleh Pentadbir Tenaga dan Galian (JKPTG) dan Borang H telah dikeluarkan dengan pemberitahuan akan membayar lapan peratus sebagai penalti.
“Mereka menjanjikan penalti ini akan dibayar selepas tiga bulan Borang H dikeluarkan sehingga bayaran penuh dibuat.
“Bagaimanapun, JKPTG mengeluarkan warta baharu pada Mei 2021 hingga 2023 dengan alasan ukuran luas asalnya,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar di depan pintu masuk SUK,, di sini, petang ini.
Memorandum itu diserahkan Kalai kepada Pegawai Pentadbir Pejabat Menteri Besar, Mohd Shahril Mohd Syed.
Menurut beliau, selepas itu penduduk dimaklumkan Borang H akan ditarik balik atau dibatalkan dan sebagai ganti mereka diminta mengisi Borang LC sebagai keputusan memuktamadkan pampasan bagi tanah berkenaan.
Namun, katanya, sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan susulan daripada pihak berkenaan berhubung Borang LC menyebabkan penduduk di situ tertanya-tanya.
“Kita dapati ini adalah satu penipuan daripada pihak terbabit untuk memperdayakan penduduk menyerahkan tanah didiami mereka bagi tujuan pembinaan projek lebuh raya berkenaan.
“Satu perbincangan telah diadakan sekali lagi di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan dihadiri wakil Ahli Parlimen Kota Raja dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa.
“Tetapi, sehingga kini tiada sebarang bayaran pampasan dibuat walaupun dalam perbincangan itu, pihak pentadbir tanah membuat perakuan akan membayar segala pampasan untuk tanah dan bangunan terlibat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Amirudin campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu kerana 250 keluarga bakal dihalau dari penempatan mereka. – MalaysiaGazette