Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pada tahun ini, sehingga 28 April lalu sebanyak 132 kes batuk kokol (pertussis) dilaporkan dengan dua kematian di negara ini.

Bagaimanapun jika dibandingkan bagi tempoh yang sama iaitu
sehingga 28 April 2019 – ia mencatatkan penurunan 73.3%.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada 132 kes pertussis yang dilaporkan, 89 kes (67.4%) adalah warganegara manakala 43 kes (32.6%) lagi merupakan bukan warganegara.

Bayi berumur bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes (50.8%).

Kanak-kanak berumur di antara satu tahun hingga hingga 10 tahun mencatat sebanyak 47 kes (35.6%) dan selebihnya berumur 11 tahun dan ke atas.

“Imunisasi merupakan langkah pencegahan pertusis yang berkesan. Di Malaysia, vaksin pertusis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95% pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan situasi semasa, Dr. Zaliha berkata, kebanyakan kes pertussis di negara ini adalah dalam kalangan bayi berumur kurang dari lima bulan yang belum mencapai tahap imuniti optima kerana masi belum lengkap tiga dos primer vaksin pertussis.

Justeru KKM sedang meneliti keperluan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi Tetanus- Difteria-Pertussis (Tdap) kepada ibu hamil.

“Ibu hamil yang menerima vaksin pertussis dapat melindungi bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti Jadual Imunisasi Kebangsaan,” kata Dr. Zaliha.- MalaysiaGazette