Seorang bekas polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun menggunakan senjata secara berkumpulan terhadap seorang lelaki di hadapan rumahnya di Taman Bukit Cheng, Melaka, di sini 29 April lalu.

MELAKA – Seorang bekas anggota polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun menggunakan senjata secara berkumpulan terhadap seorang lelaki di hadapan rumahnya di Taman Bukit Cheng di sini 29 April lalu.

Perintah reman sehingga Selasa ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

Ia bagi membantu polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian pukul 12.05 tengah malam 29 April lalu, peniaga sayur berusia 25 tahun tiba-tiba didatangi dua lelaki termasuk suspek yang menaiki motosikal ketika meletakkan kereta di hadapan rumahnya.

“Salah seorang daripada indvidu itu kemudian telah mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya ke arah pengadu sambil mengarahkan pengadu menyerahkan wang dan barang berharga.

“Dalam keadaan ketakutan, pengadu menyerahkan wang tunai pengadu sebanyak RM400 dan sebuah telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, bertindak hasil maklumat, suspek berjaya ditahan sepasukan anggota polis dari Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada pukul 12.30 tengah hari 2 Mei lalu.

“Dalam tangkapan itu, polis merampas pelbagai barang kes termasuk satu unit bekas plastik yang mengandungi sebutir peluru.

“Peluru itu didakwa adalah miliknya dan menyimpan setelah suspek ditamatkan perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia pada 2016,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast