Gelagat dua pelajar menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan susulan cuaca panas yang melanda sementara menunggu ahli keluarga menjemput mereka pulang dari sekolah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM, 02 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana dibenarkan untuk memakai baju sukan yang sopan di sekolah semasa cuaca panas.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, kebenaran itu diberikan bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap kesihatan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan
anggota kumpulan pelaksana semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara.

“Fenomena ini merupakan keragaman iklim yang berlaku secara tidak tetap. Keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan bagi bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.

“Pihak sekolah diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

“Supaya tindakan segera dapat diambil bagi menjamin
kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana.

“KPM sentiasa mengambil berat kesejahteraan seluruh warganya,” katanya.

Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berlanjutan sehingga Ogos ekoran perubahan kitaran musim kepada Monsun Barat Daya.

Pakar Klimatologi Dr Fredolin Tangang sebelum ini menjelaskan, monsun tersebut mengakibatkan cuaca paling kering dengan suhu maksimum melebihi 35 darjah Celsius, terutamanya di Semenanjung Malaysia.-MalaysiaGazette