Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi pendengaran keputusan kes membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Sekitar pukul 10 pagi ini, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi dijangka akan membacakan keputusan kes berkaitan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Siti Bainun sedang berdepan dakwaan dua dakwaan kontroversi mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini menjadi tumpuan dengan puluhan wakil media tempatan dan antarabangsa sudah berada seawal jam 8 pagi lagi.

Siti Bainun tiba awal bersama peguamnya, riak wajahnya kelihatan resah bersama beberapa ahli keluarga serta rakan-rakannya berpelukan antara satu sama lain di ruang lobi mahkamah.

Berlaku sedikit kekecohan dalam kalangan orang awam dan juga keluarga Siti Bainun yang mahu masuk bilik bicara sedangkan pengurusan mahkamah awal-awal lagi sudah menyediakan pas khas bagi yang hendak mengikuti prosiding keputusan.

Untuk makluman, 9 Mac lepas pembelaan menutup kes selepas  mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama memberi keterangan pada prosiding bermula 26 Januari lepas.

Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hadir ke mahkamah bagi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2022.

Pendakwaan telah mengemukakan 22 saksi termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur yang memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 30 Mac 2022.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Baljit Singh Sidhu, Datuk Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman dilantik oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati. – MalaysiaGazette