Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G fasa 1 diteruskan melalui Digital Nasional Berhad (DNB).

Pelaksanaan fasa 1 disasarkan mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil berkata, keputusan dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Kami yakin sasaran 80 peratus dapat dicapai menjelang hujung tahun ini. Pada waktu ini rangkaian 5G telah mencapai 57.8 peratus iaitu peningkatan daripada 54.7 peratus pada hujung Februari lalu.

“Ini bermakna sasaran 80 peratus hanya berbaki 22.2 peratus,” kata Fahmi dalam sidang media hari ini.

Jelas beliau, fasa 2 rangkaian 5G yang menyaksikan peralihan kepada model dwirangkaian akan dibangunkan seawal Januari tahun depan.

Fahmi berkata, kerajaan tidak terlibat dalam memutuskan syarikat yang akan terlibat pada fasa kedua.

Jelas beliau, kerajaan bersikap neutral dalam pemilihan syarikat yang akan terbabit.

“Manakala peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian bukan sahaja untuk rakyat, malah juga untuk sektor
perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

“Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif.

“Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB,” katanya.

Fahmi menegaskan, apa yang penting kepada kerajaan adalah ekosistem yang dibangunkan oleh syarikat terbabit adalah mampan dan lestari kepada pengguna.

Harga yang ditawarkan kepada pengguna juga menjadi penentu kepada pemilihan syarikat terbabit dalam membina rangkaian 5G di negara ini.

“Selaras dengan prinsip utama yang digariskan dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, peralihan ini dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia
ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat.

“Kementerian Komunikasi Digital sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur,” kata Fahmi.

Sementara itu menurut Fahmi, pihaknya bersedia untuk bertemu dengan pewakilan asing berhubung pemilihan syarikat yang menyediakan rangkaian 5G.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia berhak untuk membuat keputusan.

“Insya-Allah saya akan mengadakan pertemuan dengan duta asing yang berminat dengan isu ini. Saya telah meminta pejabat saya memandangkan kerajaan telah membuat keputusan.

“Penting ditegaskan bahawa sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia dan kerajaan ada hak dan kuasa menentukan dasar dalam negara kita tanpa kacau ganggu dan keterlibatan pihak lain.

“Tapi saya percaya sebarang keputusan kerajaan bukan hanya mendatangkan manfaat kepada rakyat memajukan pertumbuhan ekonomi tetapi juga keadaan harmoni isu antarabangsa,” kata Fahmi.

Media sebelum ini melaporkan, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada Malaysia mengenai risiko terhadap keselamatan negara dan pelaburan asing ketika ia memuktamadkan semakan pelancaran 5G yang boleh membolehkan Huawei Technologies Co Ltd China membida peranan dalam infrastruktur telekomunikasi. – MalaysiaGazette