Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Polis telah memperhebatkan usaha mengesan seorang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah cabul terhadap seorang wanita di tepi jalan di Sea Park Jumaat minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang memaklumkan mengenai nasib yang menimpa dirinya itu.

“Wanita dalam aduan itu mendakwa bahawa semasa dia sedang berjalan di kawasan perumahan itu, tiba-tiba dia dipeluk dari arah belakang oleh suspek lelaki yang tidak dikenalinya.

“Suspek telah berpakaian hitam dan memakai pelitup muka serta bertopi warna hitam itu kemudian melarikan diri selepas melakukan perbuatan cabul itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, polis telah memperhebatkan usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian jenayah cabul itu.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh tampil membantu polis dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.- MalaysiaGazette