Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

KUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke London, United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 14 Mei ini.

Baginda berdua telah dijemput oleh Baginda Raja Charles III untuk menghadiri upacara pertabalan di Westminster Abbey pada 6 Mei ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Seri Paduka Baginda berdua juga telah berkenan untuk menghadiri majlis resepsi dihoskan Baginda Raja Charles III di Istana Buckingham pada 5 Mei.

Lawatan khas ini amat signifikan dalam konteks menyatukan hubungan sedia ada dan akrab yang dikongsi antara Malaysia dan UK terutama antara institusi diraja kedua-dua negara serta ikatan dalam Komanwel.

Lawatan khas ini turut menzahirkan kepentingan hubungan erat antara kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai bidang yang disokong di peringkat pemerintahan tertinggi negara. – MalaysiaGazette