Tangki lori yang disita susulan aktiviti penyelewengan minyak diesel. - Gambar Ihsan KPDN Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 7,200 liter barang kawalan bersubsidi bahan api diesel bernilai lebih RM195,000 berjaya dirampas oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, rampasan itu dibuat dengan kerjasama polis menerusi serbuan Op Tiris di sebuah premis di Tanah Merah Site C, Port Dickson.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas premis mendapati terdapat dua orang lelaki dipercayai pekerja sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi.

“Mereka melakukan pemindahan bahan api itu dari tangki kepala lori ke dalam tangki lori treler sekitar pukul 9 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua individu itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 AKB 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

Muhammad Zahir berkata, kedua-dua lelaki itu telah ditahan bagi tujuan membantu siasatan.

Dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita dua buah lori, sebuah lori tangki, telefon bimbit serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian bekalan minyak diesel bersubsidi yang terlibat dalam kes tersebut. – MalaysiaGazette