Penerbangan ihsan TUDM dari Pulau Tioman ke Kuantan membawa seorang pesakit kanak-kanak lelaki yang dipercayai mengalami strok haba bagi menerima rawatan di HTAA pada tengah malam tadi.

KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki dipercayai mengalami strok haba diterbangkan dari Pulau Tioman ke sini menerusi penerbangan ihsan Tentera udara Diraja Malaysia (TUDM) malam tadi.

Kanak-kanak berusia lapan tahun tersebut diterbangkan menaiki helikopeter EC725AP milik TUDM yang berpengkalan di 10 Skuadron Pengkalan Udara Kuantan itu selamat mendarat sekitar pukul 11.30 malam.

Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan susulan menaiki ambulans dari Kem Tentera Batu 10.

Terdahulu kanak-kanak itu mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman berikutan mengalami suhu demam yang tinggi dan simptom lain.

Seramai tiga kakitangan Kementerian Kesihatan diterbangkan bagi memantau keadaan pesakit dan tiba di HTAA sekitar pukul 11.50 malam. – MalaysiaGazette