Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyampaikan sumbangan kepada pelajar Maktab Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu ketika melakukan lawatan di MRSM itu hari ini.

PAPAR – Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pembangunan projek menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan MARA (IPMA) bagi tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), RM17 juta kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) manakala Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional MARA (KPM) menerima RM8 juta.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata bagi IPMA di Sabah sebanyak RM2.347 juta telah diperuntukkan manakala MRSM Kota Kinabalu, yang kini dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman menerima peruntukan sebanyak RM250,000.

“Kepimpinan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga diarahkan tidak meremehkan setiap masalah dihadapi MRSM serta lain-lain institusi di bawah kementerian ini kerana saya dimaklumkan terdapat MRSM yang hadapi masalah seperti tiada bekalan air dan keretakan bangunan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra MRSM Kota Kinabalu di sini yang turut dihadiri Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata dengan peruntukan itu, KKDW diharap akan dapat memastikan semua projek baik pulih dan naik taraf institusi terlibat mampu dilaksanakan pada tahun ini, selain memastikan keberkesanan semua usaha dilakukan melibatkan semua agensi di bawah kementerian.

“Bawa tatakelola yang baik dengan lakukan transformasi, reformasi dan game changer (pengubah keadaan) baharu supaya tidak kekal di takuk lama. Kita tidak mahu kewujudan MARA sebagai suatu agensi tanpa banyak keberkesanan. Sentiasa fikir low cost high impact (kos rendah, berimpak tinggi) atas apa kita lakukan,” katanya.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara) yang mempunyai lebih 200,000 keahlian.

“Walaupun Ansara tidak memohon apa-apa peruntukan daripada saya, saya mahu supaya Ansara dan seluruh kekuatan bersama-sama dengan saya untuk kita memajukan negara melalui MRSM serta agensi-agensi di bawah KKDW,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sebanyak 80 peratus daripada lepasan pelajar MRSM berjumlah kira-kira 225,000 orang adalah dalam golongan berpendapatan tinggi, membuktikan keberkesanan sistem pembelajaran dan pendidikan sahsiah diri diterapkan dalam MRSM.- BERNAMA