KUANTAN – Sebuah restoran, tiga premis dan empat kediaman terbakar di Kampung Tanjung Api, Taman Gelora di sini malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh sejam setengah.
Menurutnya, bomba menerima panggilan pukul 7.23 minit malam dan enam minit kemudian pasukan bomba tiba melakukan operasi.
“Kebakaran membabitkan 80 peratus kemusnahan di restoran, dan kediaman pula musnah 90 peratus. Bagaimanapun tiada insiden kehilangan nyawa atau kecederaan berlaku,” katanya ketika ditemui malam ini.
Menurut Wan Mohammad Zaidi, dalam tempoh proses memadamkan api agak sukar peringkat awal tetapi selepas itu hujan lebat membantu proses pemadaman. – MalaysiaGazette