Arab Saudi APEL
Mohammad Shatar Sabran (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Raed Althomali yang juga ketua delegasi Sektor Pendidikan Suruhanjaya Diraja Jubail & Yanbu. (Gambar: Ihsan MQA)

KUALA LUMPUR – Sektor Pendidikan Suruhanjaya Diraja Jubail & Yanbu, Arab Saudi menunjukkan minat untuk melaksanakan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di negara pengeluar minyak terbesar di dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya telah melihat beberapa kaedah untuk memberi peluang kepada masyarakat menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi selain secara konvensional.

Katanya, mereka tertarik dengan laluan pengajian melalui APEL yang dilaksanakan di Malaysia mempelajari kaedah untuk melaksanakannya di Arab Saudi.

“APEL.A (akses ke institusi pendidikan tinggi) dan APEL.C (pemindahan kredit) dilihat mempunyai potensi sangat besar untuk membantu pelajar dan masyarakat di sana terutama bagi tujuan menyambung pengajian selepas tercicir atau tidak berkesempatan mengikut pendidikan secara konvensional di peringkat sekolah menengah.

“Mereka mahu mempelajari pelaksanaan APEL bagi memberi peluang lebih luas kepada rakyat Arab Saudi untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing melalui laluan alternatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Sektor Pendidikan Suruhanjaya Diraja Jubail & Yanbu, Arab Saudi di Mercu MQA,, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti MQA, Muhamad Amran Zainal Abidin; Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Standard MQA, Nor Hafizah Mohd Arip; Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa, Muhammad Hasfarizal Kamaludin, Pengarah Urusan Yanbu Industrial College, Dr Raed Althomali; Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Yanbu Industrial College, Dr Akram Faqeeh dan Ketua Jabatan Kemasukan dan Pendaftaran Jubail Student Affairs, Khaled Alharbi.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, perhatian dan minat yang ditunjukkan oleh Sektor Pendidikan Suruhanjaya Diraja Jubail & Yanbu merupakan pengiktirafan global terhadap inisiatif MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkaitan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH).

Beliau berkata, diharap negara lain juga mengikut jejak Arab Saudi untuk mempelajari seterusnya melaksanakan APEL di negara masing-masing bagi memberi peluang masyarakat bagi meningkatkan kelayakan akademik.

“Dalam perbincangan kami, Sektor Pendidikan Suruhanjaya Diraja Jubail & Yanbu bersetuju untuk melatih staf mereka dalam pelaksanaan APEL, selain menjalani latihan dalaman bersama Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC).

“Usaha ini sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat sekali gus mampu meningkatkan imej pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette